Wednesday 1 June 2016

SELAMAT BERCUTI KEPADA SEMUA MURID DAN CIKGU SKKB SEMPENA CUTI PERTENGAHAN TAHUN 2016

Setiap kali cuti sekolah tiba, pasti ibu bapa selalu memikirkan apakah aktiviti yang boleh mereka lakukan untuk anak-anak agar masa terluang dikala cuti sekolah ini agar ianya tidak membazir begitu sahaja.

Maklum sajalah, pada zaman kini, anak-anak ini kalau ada saja masa terluang tanpa pengawasan atau aktiviti dirancang, ianya satu kebebasan dan macam-macam perkara yang mereka cuba lakukan.

Kalau ibu bapa dapat cuti dan meluangkan masa bersama anak-anak. Inilah masa yang paling sesuai untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan setelah masing-masing sibuk dengan aktiviti rutin harian.

 

Aktiviti Cuti Sekolah

Maka, berikut adalah beberapa cadangan dan idea yang boleh membantu anda untuk djadikan panduan aktiviti anak-anak ketika cuti sekolah.

Secara umumnya ianya terbahagi kepada dua iaitu aktiviti bersama ibu bapa dan aktiviti tanpa bersama ibu bapa (tidak dapat cuti).

1. Aktiviti Anak-Anak Bersama Ibu Bapa 
Sebelum bermulanya cuti sekolah, sewajarnya ibu bapa telah merancang lebih awal akan aktiviti yang perlu dilakukan bersama. Ini berikutan penjadualan cuti serta mungkin aktiviti perlukan tempahan atau persiapan awal.

Melancong
Bagi mereka yang berkemampuan, inilah masa terbaik untuk pergi melancong. Tidak dinafikan, ini adalah aktiviti yang amat dinanti dan disukai oleh anak-anak.

Selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, melancong sama ada dalam atau luar negara ini dapat membuka minda, menimba pengalaman serta ilmu pengetahuan dan ketenteraman apabila bebas dari rutin harian.

Lawatan Ke Tempat Menarik
Mungkin cuti ibu bapa terhad, maka penuhi dengan melawat tempat yang memberi ilmu sambil dapat berseronok. Antaranya adalah Petrosains, Planetarium, Kidzania, Muzium Negara, Zoo Negara, Muzium Negara, Putrajaya, Bangunan-bangunan mercu tanda dan sebagainya.

Aktiviti yang mudah tapi percayalah, ibu bapa dan anak-anak pasti akan merasai keseronokan disamping mengeratkan hubungan.


Melawat Saudara Mara
Aktiviti ini amat wajar dilakukan di zaman ini. Amat menyedihkan apabila sesama saudara mara sendiri pun tidak kenal. Tidak mustahil bahawa rakan satu asrama yang sekatil (double decker) rupa-rupanya adalah sepupu sendiri pun tak tahu.

Inilah masanya selain di Hari Raya untuk kita membawa anak-anak mengenali serta mengeratkan silaturahim sesama saudara mara yang dekat mahupun jauh. Semoga ikatan kekeluargaan kekal terjalin.

Melawat Mereka Yang Kurang Bernasib Baik
Bawa mereka melawat golongan yang kurang bernasib baik, sama ada dikalangan rakan-rakan mereka sendiri atau mana-mana pusat penjagaan seperti rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim.

Anjurkan kepada mereka untuk membawa buah tangan atau minta mereka pilih aktiviti apa yang mereka ingin lakukan di sana. Semoga mereka merasa bersyukur dan menyayangi sesama insan.

Berkebun
Tidak semestinya masa cuti sekolah ini adalah masa untuk aktiviti diluar sahaja. Ketika di rumah, bagi meraka yang punya ruang, lakukanlah aktiviti berkebun atau bercucuk tanam bersama.

Inilah masa untuk mencantikkan halaman dengan pokok bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang dapat memberikan hasil untuk santapan bersama. Tanamkanlah rasa cinta anak-anak kepada alam sekitar. Besar manfaatnya andai berbudi kepada tanah!

Hobi Dan Minat
Jika anak-anak punya hobi/minat, inilah masanya untuk ibu bapa memainkan peranan dengan memberi galakan dan bantuan serta diasah agar lebih berkembang. Lakukan bersama mereka atau membawa bersama jurulatih atau mereka yang berkemahiran.

Aktiviti seperti memasak, menjahit, membuat kraf, bertukang, mengaji, menghafaz al-quran, melukis berenang dan sebagainya bukan sahaja hobi yang sia-sia kerana bakat yang terpendam ini mungkin akan membantu mereka untuk menjadi insan yang berjaya dalam bidangnya di masa hadapan.

2. Aktiviti Anak-Anak Tanpa Bersama Ibu Bapa 
Apabila situasi sebegini berlaku, anak-anak pasti akan kecewa. Ibu bapa perlu bijak mengambil hati dan merancang aktiviti agar cuti sekolah mereka tetap terisi seperti rakan-rakan mereka yang lain.

Selain itu, adalah penting untuk ibu bapa pastikan anak-anak ini sentiasa boleh dipantau dan diawasi oleh orang yang dipercayai.

Masuk Kelas Kemahiran
Cuti sekolah pun belajar... tetapi belajar sesuatu yang baru dan yang anak anda minati. Sertai kelas seperti kelas melukis, nyanyian, tarian, memanah, menunggang kuda dan sebagainya. Tidak mustahil jika kemahiran ini menjadi kerjaya satu hari nanti.

Selain itu kelas ilmu seperti kelas keusahawanan, pengucapan awam, komputer & multimedia seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan dan kesenangan di masa hadapan.

Tinggal di Kampung
Bukan untuk menyusahkan datuk dan nenek tetapi percayalah sebenarnya mereka amat menyukainya. Inilah peluang untuk anak-anak menikmati suasana dan menjalani kehidupan di kampung.

Tinggal di kampung adalah satu pengalaman yang perlu anak-anak anda rasai. Hidup tanpa gadget dan hiburan maka masa akan lebih banyak terluang bersama datuk dan nenek menjalani kehidupan harian. Sudah pasti pelbagai nasihat dan ilmu dicurahkan oleh datuk dan nenek.

Aktiviti Sekitar Tempat Tinggal
Libatkan anak-anak anda di dalam program setempat seperti aktiviti masjid, kemasyarakatan, gotong-royong, kenduri atau sebagainya. Ianya satu pendedahan yang bagus untuk anak-anak bergaul dan bermasyarakat.

Ianya dapat mengeratkan hibungan silaturrahim dan berpeluang untuk mengenali lebih ramai rakan-raka baru di luar sekolah. Namun pastikan ada orang yang dipercayai bersama dan memantau aktiviti anak anda.

Kerja Part Time
Ini juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Beri peluang kepada anak-anak menimba pengalaman mencari wang saku sendiri. Berikan bimbingan dan tunjuk ajar untuk bekerja dengan baik, amanah dan jujur.

Namun, pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Pilihlah kerja yang bersesuaian, selamat dan dilokasi yang berhampiran. InsyaAllah.. dengan panduan, banyak manfaat buat anak-anak anda.

Kem Motivasi
Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi.

Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.

Kem Ibadah
Ini juga merupakan kem yang amat bagus. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quran dan aktiviti pemantapan iman.

Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih anak-anak untuk mempelajari teknik menghafal Al-Quran. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing mereka serta memperkukuhkan iman dan ilmu akhirat.

Jadual Harian
Andai anda tiada pilihan, maka sediakanlah jadual kerja harian untuk anak-anak anda.seperti membasuh baju, melipat kain, mengemas bilik, mencuci tandas dan sebagainya. Didik mereka untuk berdikari.

Lengkapkan jadual dengan masa untuk ulangkaji pelajaran sebagai persedian peperiksaan. Sekalipun mungkin agak membosankan buat anak-anak namun persediaan untuk menghadapi peperiksaan adalah amat penting. Bersusah-susahlah dahulu...

Kebaikan Bersama

Semua yang di atas hanyalah idea aktiviti cuti sekolah untuk rujukan dan tidak semestinya menepati kehendak anda. Fikirkanlah yang terbaik dan bersesuaian dengan kemahuan serta memenuhi kepentingan atau tahap usia anak-anak dan anda.
Penuhilah masa cuti sekolah mereka dan jangan biarkan mereka tanpa arah tujuan. Melalui kesibukan aktiviti disepanjang cuti sekolah, ianya dapat menghindarkan anak-anak ini dari terlibat dengan aktiviti kurang sihat

Gunakan masa yang ada ini sebaik mungkin untuk kebaikan anak-anak dan agar hubungan kekeluargaan lebih erat dan harmoni. Anak gembira... anda pasti ceria!

p/s: Selamat bercuti kepada semua yang bercuti, semoga bahagia dan gembira disamping insan-insan tersayang...

No comments:

Post a Comment